KUALA LUMPUR – Penganjur Konsert Malam Sutera Aisha Retno, Kharisma Music menafikan kenyataan dibuat penyanyi itu di Instagram yang mendakwa tidak mengetahui mengenai pembatalan konsertnya.
Peguam mewakili Kharisma Music, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof dari Arief & Iskandar berkata pada September lalu, Karisma Music dan Aisha Retno Entertainment (ARE) telah mengaturkan beberapa pertemuan bagi membincangkan mengenai hala tuju konsert.
Justeru, dakwaan penyanyi itu yang tidak dimaklumkan mengenai perkembangan penjualan tiket adalah tidak benar.
“Kedua-dua belah pihak pada mulanya merancang untuk menunda konsert itu ke 2025, tetapi tidak mendapat kata sepakat membabitkan pemilihan tarikh dan akhirnya penganjur buat keputusan untuk membatalkan saja konsert
“Pihak ARE ada mengemukakan cadangan meneruskan konsert tanpa Kharisma Music tetapi beberapa cadangannya tidak dipersetujui penganjur, jadi kami pilih batalkan saja konsert.
“Kami tidak tahu apa alasan kukuh untuk mereka teruskan konsert pada 16 November dengan jualan tiket yang sangat rendah itu,” kata Tuan Muhammad Arief dalam sidang media semalam.
Difahamkan hanya 98 tiket saja terjual, 100 tiket lagi diperuntukkan untuk media daripada 2414 tiket ditawarkan.
Sementara itu, penganjur Yuka Kharisma menuntut Aisha membayar semula baki wang dipinjamkan pihaknya yang bernilai RM77,000.
Katanya, Aisha Retno Entertainment (ARE) meminta bantuan mereka kerana kesukaran mencari dana untuk persembahannya di Anugerah Juara Lagu (AJL) 38, Mac lalu.
“Dana itu adalah wang pendahuluan yang perlu dibayar semula, setakat ini dia baru membayar RM 6,000 daripada RM 83,00O yang kami pinjamkan kerana kami hanya taja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan malam itu.
“Pihak ARE cuba memberi alasan wang pendahuluan itu adalah penajaan tapi kami mengingatkan kembali wang itu adalah pinjaman dan wajib dibayar semula melalui sebuah konsert solo Aisha Retno,” kata Yuka.
“Tiada ada tuntutan untuk kerugian lain seperti lokasi acara, iklan dan sebagainya.
“Kerugian daripada penaja yang menarik diri juga kami takkan tuntut. Secara keseluruhan kerugian yang kami tanggung mencecah lebih kurang RM150,000. Itu belum termasuk masa dan tenaga yang kami sumbangkan,” katanya.
Terdahulu, Kharisma Music membuat pengumuman pembatalan konsert itu di Instagram pada 9 November serta memulakan proses pemulangan semula duit penjualan tiket kepada pembeli yang sudah membuat pembayaran.