Kumar menyaksikan penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Johor daripada Afandi kepada Nor Azizi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menahan enam lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes sebuah pacuan empat roda (4WD) yang meloloskan diri semasa dikejar dari Muar ke Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semua suspek berkenaan yang berusia 25 hingga 35 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 7 pagi tadi.

“Selain itu kita menahan dua 4WD dan satu daripadanya digunakan untuk melarikan diri semasa dikejar pihak polis.

“Siasatan mendapati kedua-dua 4WD itu disewa. Selain itu kita turut menemukan beberapa peralatan mencuri kabel dalam dalam salah satu kenderaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Penyerahan tugas tersebut dilakukan daripada Deputi Komisioner Afandi Senin kepada Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi semalam, 4WD berkenaan melanggar lampu isyarat merah di Jalan Bakri, Muar.

Secara kebetulan sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar terserempak kenderaan terbabit lalu memintanya berhenti untuk pemeriksaan.

Namun pemandunya terus memecut kenderaannya dan melarikan diri sebelum pasukan peronda terbabit mengejarnya dibantu Polis Kontinjen Melaka serta Bukit Aman dan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

4WD berkenaan melarikan diri dari Muar sehingga ke Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur sejauh 180 kilometer sebelum berjaya meloloskan diri.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, siasatan mendapati, semasa dikejar polis 4WD berkenaan melarikan diri dari Muar sebelum melanggar penghadang tol di Jasin.

Kemudian katanya, 4WD berkenaan keluar di Tol Sungai Besi sebelum tiba di Jalan Chan Sow Lin dan melanggar pembahagi jalan sebelum berjaya melarikan diri.

Pihaknya masih menyiasat berapa ramai yang berada dalam 4WD tersebut termasuk motif mereka melarikan diri.

“Kita juga masih menyiasat sama ada semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here