ISKANDAR PUTERI – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti melangkah ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 malam tadi.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan yang berjaya dirakam setelah menurunkan skuad kedua bagi aksi tersebut.
“Sudah tentu saya berpuas hati dengan keputusan yang diraih pada hari ini, ia merupakan bekalan yang cukup selesa (untuk ke perlawanan kedua pusingan 16).
“Walaupun pasukan tidak beraksi seperti yang dimahukan, mereka sudah melakukan yang terbaik. Tambahan pula pemain lawan banyak berkampung di kawasan sendiri, ia lagi merencatkan perancangan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia itu, Heberty Fernandes muncul wira JDT apabila meledak hatrik membantu pasukan meraih kemenangan 3-0.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Argentina itu berkata, keputusan menurunkan pemain-pemain yang jarang dapat peluang beraksi sebagai satu keputusan yang tepat bagi meningkatkan keyakinan mereka dan selain mendapatkan minit permainan.
Tambahnya, pemain bawah 23 tahun yang turut diberikan tempat dalam kesebelasan utama iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Alif Abdul Mutalib dan Daryl Sham turut melaksanakan tugas dengan sebaiknya.
“JDT mempunyai skuad yang besar dan saya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada setiap pemain, mereka ini semua pemain yang bagus cuma ada masanya sukar mendapat tempat dalam pasukan.
“Saya kira mereka sudah memberikan 100 peratus di atas padang cumanya pihak lawan terlalu bertahan, sukar untuk mencipta gerakan. Begitu juga pemain bawah 23 tahun walaupun aksi skuad pertama lebih laju, mereka dapat mengikut rentak pemain senior,” ujarnya.- MalaysiaGazette