ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menetapkan waktu rehat bagi sektor swasta pada Jumaat dilanjutkan menjadi 2 jam berbanding 1 jam 30 minit sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketetapan itu dibuat bagi membolehkan umat Islam yang bekerja di sektor swasta di negeri ini dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa.
“Bagi memastikan kemuliaan hari Jumaat terus terpelihara dan umat Islam termasuk yang bekerja di sektor swasta dapat menunaikan kewajipan solat Jumaat dengan selesa.
“Kerajaan negeri ingin membuat ketetapan supaya waktu rehat bagi sektor swasta pada hari Jumaat dilanjutkan daripada 1 jam 30 minit kepada 2 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Selain itu katanya, bilangan surau termasuk dewan yang berada dalam kawasan sekolah juga akan ditambah.
“Bagi memastikan pelajar-pelajar lelaki yang beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Ia termasuk menambah bilangan surau termasuk surau atau dewan yang berada dalam kawasan sekolah yang menepati kriteria untuk diberikan kebenaran melaksanakan solat Jumaat,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Pertukaran cuti hujung minggu itu dibuat selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.
Perubahan itu sebelum ini mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar Johor.- MalaysiaGazette