KULAI – Seorang lelaki didenda RM200 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki cap polis.
Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 25 tahun membuat pengakuan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pihak polis iaitu cap polis.
Tertuduh didakwa tidak dapat menerangkan dengan memuaskan bagaimana cap tersebut berada dalam milikannya.
Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang wanita warga tempatan mengaku bersalah memiliki dokumen pengenalan palsu.
Nurul Asyiqin Abd Majid, 32, didakwa melakukan kesalahan tersebut di alamat 5344, Jalan Kenari 19, Bandar Putra di sini pukul 6.21 pagi, pada 16 November lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu tanpa sebab yang munasabah memiliki dokumen pengenalan palsu atas nama Nurul Asyiqin Abd Majid bernombor 921217-01-5980 beralamat di Melaka.
Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan bawah peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh hari daripada tarikh tangkapan dan denda RM5,000 atau enam bulan penjara.- MalaysiaGazette