GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang sedang dibicarakan bagi satu kes rogol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan pada Mei tahun lalu.
Tertuduh, AH.Mohamed Imran, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang ketika itu berusia 17 tahun dengan cara menyentuh payudaranya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pasaraya di Tanjung Tokong di sini, jam 7 malam pada 9 Mei tahun lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM10,000.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000.
Bagaimanapun, tertuduh tidak membayar jaminan. – MalaysiaGazette