Afnan Hamimi

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mahu senarai nama syarikat tanggung kos perjalanan bagi lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara, didedahkan

Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden juga meminta agar jumlah kos yang ditanggung oleh setiap syarikat berkenaan diberitahu kepada umum.

Beliau dalam kenyataan juga mahu mengetahui adakah sebarang pulangan perniagaan atau ROI (return of investment) yang berjaya diperolehi oleh syarikat-syarikat berkenaan.

“Nyatakan jumlah keseluruhan bilangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta yang terlibat di dalam rombongan ini yang ditanggung oleh dana syarikat berkenaan?

“Dilaporkan sebelum ini perdana menteri membatalkan satu lawatan ke luar negara melibatkan 68 orang pegawai kerajaan kerana dikatakan membazir. Bagaimana pula dengan lawatan pada kali ini?” soal beliau dalam kenyataan.

Afnan Hamimi yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas turut mempersoalkan sama ada kos perjalanan melibatkan anak perdana menteri juga turut ditanggung oleh syarikat berkenaan.

Media hari ini melaporkan, sebahagian besar kos perjalanan bagi lawatan kerja rasmi Anwar ke lima negara lima baru-baru ini ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang turut mengikuti program tersebut.

Perdana Menteri memaklumkan, kos penerbangan yang ditanggung pihak terbabit mencecah 80 peratus.

Katanya, ia pendekatan berbeza yang dibuat di bawah pentadbirannya memandangkan kos lawatan kerja rasmi ke luar negara lazimnya menelan perbelanjaan yang tinggi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, syarikat-syarikat berkenaan diundang dalam lawatan kerja itu dan mempunyai kepentingan perniagaan serta pelaburan.

Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat mengenai jumlah implikasi kewangan hasil lawatan kerja ke beberapa negari baru-baru ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast