Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan dakwaan terdapat usaha menyekat siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah dengan tidak akan melindungi sesiapa.

“Kalau dimulakan dengan soal rasuah, langkah-langkah itu memang tegas. Saya tahu tak mudah kerana sukar untuk perangi rasuah bila melibatkan golongan mahakaya kerana ramai penyokong-penyokong mereka.

“Tapi, saya sudah diberi maklum oleh SPRM bahawa hal ini akan diteruskan termasuk isu-isu berbangkit terutama terakhir di Sabah. Itu dimaklumkan oleh SPRM, siasatan sedang diteruskan dan ADUN-ADUN berkaitan telah dipanggil tetapi, setakat itu sahaja saya boleh beri makluman.

“Tetapi tidak benar sama sekali kalau dikatakan ada usaha mengekang atau menyekat (siasatan),” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan yang dikemukakan Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu mengenai usaha yang diambil Putrajaya untuk memerangi rasuah di negara ini.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM Sabah memanggil lima ADUN Sabah bagi siasatan melibatkan dakwaan rasuah perolehan projek mineral di negeri itu.

SPRM Putrajaya dalam kenyataan menjelaskan, SPRM Sabah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah terbabit.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, SPRM memanggil lima ADUN Sabah berkenaan untuk dirakam percakapan, dan siasatan masih giat dijalankan.

Siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here