KUALA LUMPUR- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2024 telah dibuka selama 30 hari bermula hari ini hingga 21 Disember.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memaklumkan, sejumlah 43,196 nama warganegara berumur 18 tahun ke atas telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 Oktober hingga 31 Oktober 2024.
Dalam tempoh yang sama juga, 10,876 pemilih berdaftar telah bertukar bahagian pilihan raya dan 2,101 pemilih bertukar kategori pengundi/status.
“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Oktober 2024 hingga 31 Oktober 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi/ status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2024.
“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN10/2024, mereka boleh membuat TUNTUTAN dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di samping itu katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2024.
1. Menurut SPR, terdapat lima kaedah semakan disediakan bagi menyemak status daftar pengundi tambahan iaitu:
2. Portal SPR di pautan https://spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my;
3. Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my;
4. Aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my;
5. Aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218
Tambahnya, untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2024 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya. -MalaysiaGazette