Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Trend pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat atau childfree dilihat membimbangkan.

Ini kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada struktur penduduk Malaysia, termasuk mempercepatkan proses negara menua, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Beliau berkata, walaupun menyedari keputusan untuk tidak mempunyai zuriat adalah hak keluarga atau pasangan, namun kerajaan sentiasa menggalakkan pasangan yang berkahwin untuk memiliki anak.

“Kita menyedari alasan pasangan memilih childfree atas faktor kos sara hidup, komitmen kerjaya, memilik kebebasan peribadi dan kualiti hidup masa hadapan.

“Namun, kerajaan melakukan pelbagai intervensi dan bantuan kepada pasangan berkahwin supaya mereka memilih untuk mempunyai anak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berhubung pendekatan kerajaan untuk meningkatkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) berikutan kadar kesuburan negara menurun ekoran trend pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak atau childfree.

Menurut Noraini lagi, kerajaan sentiasa menyediakan bantuan, persekitaran yang sihat dan kondusif bagi membantu pasangan berkahwin.

Antaranya beliau berkata, subsidi yuran pengasuhan taska sebanyak RM180 seorang bagi anak berusia 4 tahun ke bawah kepada penjawat awam yang layak, selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM7,000 bagi subsidi yuran pengasuhan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Zulkifli mengenai strategi kementerian dalam menggalakkan pasangan mempunyai atau menambah zuriat, Noraini berkata, terdapat perkhidmatan rawatan kesuburan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ditawarkan, malah rawatan subfertiliti LPPKN berjaya merekodkan 6,150 kehamilan setakat Oktober 2024.

Katanya, kerajaan turut menyediakan inisiatif khas bagi membantu meringankan beban kewangan terhadap pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM10,000, selain pengeluaran wang caruman KWSP (Akaun 2) untuk rawatan kesuburan bermula 1 September 2020.

“Pada 2025 pula, LPPKN akan memperkenalkan program i-KASIH (Insentif Keluarga KASIH) yang menawarkan Subsidi bagi pembiayaan kos rawatan kaedah Intrauterine Insemination (lUl) Permanian Beradas kepada 1,300 pasangan berpendapatan kurang RM10,000,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast