Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan tindakan kerajaan yang membiarkan wakil syarikat telekomunikasi, U Mobile Sdn Bhd berada di dalam Lembaga Pengarah, Digital Nasional Berhad (DNB).

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana syarikat telekomunikasi itu boleh menjadi pesaing kepada DNB selepas U Mobile dipilih sebagai penyedia 5G rangkaian kedua negara.

“Kenapa sehingga hari ini kerajaan tidak mengarahkan wakil U-Mobile dalam Lembaga Pengarah DNB untuk melepaskan jawatan dan keluar daripada pentadbiran DNB?

“Pengumuman kerajaan memberikan spektrum kepada U-Mobile membuatkan U-Mobile menjadi pesaing DNB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Wan Saiful menghadiri taklimat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Komunikasi mengenai pemberian spektrum 5G kepada U Mobile di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, sehingga hari ini beliau masih tidak berpuas hati dengan kelemahan kerajaan menguruskan impak susulan daripada pemberian spektrum 5G kepada U Mobile.

Wan Saiful melahirkan kebimbangan jika wakil U Mobile terus diberikan berada di dalam Lembaga Pengarah DNB, kelak maklumat sensitif mengenai operasi dan strategi DNB boleh diakses penyedia perkhidmatan 5G itu.

“Apabila U-Mobile ada wakil dalam BOD DNB, adakah itu bermaksud kerajaan sengaja memberikan kelebihan yang tidak adil kepada U-Mobile? Wakil itu pasti ada akses kepada pelbagai maklumat sensitif mengenai operasi dan strategi DNB.

“Kenapa pesaing dibiarkan mengumpul maklumat yang kemudian boleh digunakan untuk mengalahkan DNB?” katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan bahawa DNB adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik rakyat, sedangkan U-Mobile milik maha kaya yang majoritinya dari Singapura.

“Adakah kerajaan sengaja mahu menekan syarikat milik rakyat demi membantu mahakaya menjadi lebih kaya dengan cara membenarkan wakil syarikat mahakaya itu menjadi perisik mencari maklumat sensitif bagaimana mengalahkan DNB?

“Saya menuntut kerajaan segera mengumumkan strategi keluar bagi U-Mobile dari DNB. Jangan teruskan ‘incompetence’ dengan membuat pengumuman yang tidak lengkap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here