Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang ramai ketika meluangkan masa menjamu selera di Medan Selera Presint 9, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 22 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Malaysia menyokong penuh keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu wajar kerana ia melibatkan perlanggaran peraturan tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan yang jelas terbukti.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan beberapa negara Eropah yang telah mengeluarkan kenyataan akan mematuhi waran tangkap tersebut.

“Keputusan ICC wajar kerana dia berlandaskan hukum bukti tentang kezaliman penindasan penuh pembunuhan berterusan.

“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia keluar harus ditangkap.

“Dan saya perhatikan ada beberapa negara Eropah yang sudah buat kenyataan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna, Presint 9, Putrajaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan ICC semalam yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.

Menurut pendakwaraya ICC, Karim Khan dalam satu kenyataan, waran tangkap itu dikeluarkan susulan pembabitan mereka dalam jenayah perang di Gaza dari 7 Oktober 2023 hingga 20 Mei lalu.

Waran itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel di Gaza memasuki tahun kedua, telah membunuh kira-kira 44,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan dan disengajakan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, mendorong penduduk di ambang kebuluran.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengesahan tentang apa yang berlaku di Gaza selama ini mungkin dipertikaikan oleh sebahagian masyarakat.

Namun tegas beliau, ICC sebagai badan yang memutuskan keputusan itu dibuat berdasarkan hukum dan bukti.

“Kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan serta tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza,” katanya.

Ditanya kenyataan Amerika Syarikat yang menolak keputusan ICC itu, Anwar berkata, itu hak negara tersebut.

“Ya, keputusan US (Amerika Syarikat) tapi saya rasa keputusan dunia sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Anwar kembali menyantuni orang ramai selepas berada di luar negara sejak 9 November lalu atas lawatan kerja.

Beliau sempat beramah mesra apabila menjamu selera ketik makan tengah hari di Nasi Kandar Melayu, Medan Selera Presint 9 sebelum menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna di presint sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast