KUALA LUMPUR- Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar jenama gula bertapis terkemuka negara Gula Prai, mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM49.7 juta bagi suku ketiga (S3) tahun kewangan berakhir Disember 2024, berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak RM36 juta.
Ini disebabkan oleh peningkat ketara Ringgit berbanding Dolar AS yang mengakibatkan kerugian pertukaran mata wang asing dicatatkan pada suku tersebut.
Hasil bagi S3 meningkat kepada RM861 juta, tujuh peratus lebih tinggi berbanding RM807 juta bagi suku yang sama tahun lepas.
Bagi sembilan bulan pertama 2024 hasil meningkat kepada RM2.60 bilion, naik 21 peratus berbanding RM2.14 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Peningkatan hasil didorong jumlah jualan tujuh peratus lebih tinggi dan Harga Jualan Purata (ASP) 14 peratus lebih tinggi.
Pada tahun dalam tinjauan, MSM mencatatkan peningkatan dalam Faktor Penggunaan (UF) yang membawa kepada pengurangan kos penapisan. Walau bagaimanapun, kos pengeluaran pada tahun ini meningkat disebabkan oleh NY11, pertukaran mata wang asing dan kos pengangkutan yang lebih tinggi
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pengukuhan jangka pendek nilai Ringgit berbanding Dolar AS menyebabkan terjemahan hasil daripada Dolar AS ke Ringgit yang lebih rendah, terutamanya daripada kontrak eksport MSM.
“Langkah-langkah baharu telah diambil untuk mengurangkan impak yang serupa pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada terjemahan pertukaran mata wang asing adalah kerugian belum direalisasikan yang dikira mengikut pasaran, yang dijangka akan berbalik kepada keuntungan positif pada suku keempat.
“Pada masa ini industri gula terus menerima insentif RM1/kg untuk Gula Kasar dan Gula Pasir Halus sejak November 2023, dengan MSM menerima 24,000 MT sebulan.
“Berbanding dengan kos pengeluaran sebenar, insentif RM1/kg hanyalah mencukupi untuk pulang modal bagi mengekalkan operasi industri gula.
“Penetapan harga gula tanpa insentif sekarang mewujudkan ketidakwajaran serius dalam ekonomi seperti yang telah dijelaskan di Parlimen tahun lepas mengenai penapisan yang mengalami kerugian sebanyak RM0.88 sen/kg,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Syed Feizal, harga runcit gula di Malaysia sebanyak RM2.85/kg adalah yang terendah di rantau ini berbanding negara-negara Asia lain.
Sebagai contoh, gula bertapis Indonesia dijual pada harga RM5.80/kg manakala Filipina sekitar RM9.00/kg.
Sehubungan itu menurut beliau, MSM yakin kerajaan akan mempertimbangkan dan memberikan sokongan yang diperlukan untuk memuktamadkan mekanisme penetapan harga yang mampan bagi segmen runcit domestik dalam memastikan keterjaminan makanan dan kemampanan jangka panjang industri ini.
Melangkah ke hadapan, MSM katanya, optimis dengan keputusan yang lebih baik pada suku keempat dan dijangka mengakhiri tahun ini dengan prestasi tahun ke tahun yang lebih kukuh.- MalaysiaGazetteMS