VKK Rajasekaran Teagarajan

KUALA LUMPUR – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengkritik Kerajaan Madani atas kelewatan melaksanakan Akta Pembiayaan Politik, satu reformasi penting yang pertama kali dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Pengerusi MUDA Negeri Perak, VKK Raja bimbang kelewatan tersebut mencalarkan akauntabiliti dan tadbir urus yang baik oleh kerajaan selain mendedahkan sistem pembiayaan politik Malaysia kepada kurang telus.

Beliau turut mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan reformasi yang dicanangkan sebelum ini.

“Mana dia Akta Pembiayaan Politik yang dijanjikan enam tahun lalu? Kerajaan Madani sering mendakwa memperjuangkan reformasi dan ketelusan, tetapi kegagalannya bertindak dalam isu penting ini menimbulkan keraguan terhadap komitmennya untuk membawa perubahan sebenar,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Sambil memberikan contoh kontroversi berkaitan penajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi ke luar negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Raja berkata, walaupun ia tidak langgar undang-undang tetapi pastinya mengundang tanda tanya dalam kalangan rakyat.

“Penajaan seperti ini mencetuskan persepsi pilih kasih dan berisiko mempengaruhi keputusan dasar. Ketiadaan peraturan yang jelas hanya memburukkan lagi masalah ini menunjukkan kegagalan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada reformasi ini.

“Antara syarikat yang dilaporkan terlibat dalam menaja lawatan rasmi ialah syarikat besar seperti Petronas, Sapura, dan Proton. Bagaimana kerajaan boleh bercakap mengenai tadbir urus beretika jika amalan seperti ini terus berlaku tanpa kawalan?,” soalnya.

Selepas bertahun-tahun bergelut dengan skandal politik, Raja berkata rakyat Malaysia masih menunggu sebuah reformasi yang memberi makna.

Tambahnya, kerajaan mesti membuktikan kesungguhan dengan melaksanakan langkah-langkah utama seperti pendedahan wajib sumbangan, menetapkan had sumbangan, pengawasan bebas dan mengenakan penalti ketat kepada mereka yang melanggar undang-undang.

“Langkah-langkah ini adalah asas untuk memastikan keadilan dan ketelusan. Persoalannya, mengapa kerajaan masih melengah-lengahkan isu yang begitu penting ini?” katanya.

Raja juga memberi amaran setiap kelewatan dalam melaksanakan Akta Pembiayaan Politik akan terus menghakis kepercayaan rakyat,. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here