Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, semalam. Foto FB

KUALA LUMPUR- Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk meneroka projek pembangunan infrastruktur jalan raya menggunapakai teknologi tinggi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perbincangan dan rundingan lanjut antara pegawai-pegawai tinggi kedua-dua negara akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, projek berkenaan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara selaras dengan dasar pembangunan ekonomi dan infrastruktur Malaysia.

“Selain itu, TYT Park juga menyatakan hasrat republik itu untuk memeterai kerjasama melalui satu memorandum persefahaman di antara Kerajaan Korea Selatan dan Malaysia yang akan memberi fokus kepada kerjasama pembangunan lebuhraya pintar dan sistem pengurusan yang canggih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasrat tersebut dizahirkan rakan sejawatnya Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, Park Sang-Woo dalam mesyuarat dua hala di Kementerian Kerja Raya, petang semalam.

“Dalam pertemuan itu, saya turut menyatakan harapan agar kerjasama yang bakal dimeterai dapat menjadi platform untuk kedua-dua negara melaksanakan pertukaran idea dan teknologi khususnya dalam pembinaan dan pengurusan lebuhraya di Malaysia, terutamanya dalam aspek keselamatan, kelestarian dan keberkesanan kos.

“Kerjasama ini juga dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia melalui kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik dan efisien,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast