MARAN- Seorang Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor di sini, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing, petang tadi.
Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Chenor, Mujibur Rahman Ishak.
Menurut orang kampung yang menyaksikan kejadian itu, mangsa yang mesra disapa Sir Dani tergelincir ketika mengalihkan kerusi semasa berada di atas sebuah rumah rakit.
Mangsa dilihat tenggelam selepas terjatuh dan timbul sekejap sebelum terus hilang daripada pandangan.
Rakan mangsa yang dikenali sebagai Bari, dikatakan gagal menarik tangan Murdani kerana arus deras dan kejadian berlaku terlalu pantas.
Sementara itu, Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memaklumkan, semua agensi berkaitan sudah pun memulakan misi mencari dan menyelamat.
“Di Mekah, mendengar perkhabaran duka berkenaan Sir Murdani Rahman. Dikenali ramai dan cukup mesra dengan orang kampung. Beliau terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing petang tadi.
“Sama-sama kita doakan Sir Dani semoga beliau dijumpai. Khabarnya semua agensi serta penduduk kampung sudah pun berkumpul di tebing Chenor untuk memulakan misi pencarian dan menyelamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini. -MalaysiaGazette