Barisan Kepimpinan baharu Jawatankuasa Pengakap Dunia (WSC) mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat Pengakap Malaysia di BP House, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur baru-baru ini.Ihsan Ibu Pejabat PPM.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memberi jaminan ia akan terus berdiri teguh dan sentiasa berganding bahu bersama Biro Dunia serta barisan Jawatankuasa Pengakap Dunia (WSC) yang baharu dalam menyediakan apa jua bantuan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan berterusan pergerakan belia sedunia yang terbesar itu.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr.Mohd Zin Bidin berkata, adalah satu kebanggaan Pengakap Malaysia menjadi sebahagian daripada pergerakan belia terbesar dan yang bersejarah di dunia untuk mengorak langkah ke arah melahirkan pemimpin masa depan yang berwawasan dan matang.

Menurutnya, WSC telah diberi amanah besar untuk memimpin pergerakan belia terbesar dalam sejarah pergerakan yang akan mentransformasikan lebih daripada 57 juta kehidupan belia di dunia ini.

“Masa depan Pengakap kini berada di tangan anda, dan saya yakin kepimpinan anda akan menginspirasikan tindakan berani serta membawa kesan yang berkekalan.

Datuk Mohd Zin semasa berucap menerima kunjungan delegasi WSC di ibu pejabat PPM, Rumah Baden Powell, Jalan Hang Jebat di Kuala Lumpur baru-baru ini.-Ihsan Ibu Pejabat PPM.

“Seperti yang dinyatakan oleh H. Jackson Brown Jr, ‘Ingatlah bahawa orang yang paling bahagia bukanlah mereka yang memperoleh lebih banyak, tetapi mereka yang memberi lebih banyak.’

“Bersama-sama, dengan memberi lebih banyak usaha dan komitmen, kita akan membuka jalan kepada ramai belia untuk menemui kebahagiaan, tujuan, dan harapan,” katanya dalam ucapan aluan menyambut WSC di ibu pejabat Pengakap Malaysia di BP House, Jalan Hang Jebat baru-baru ini.

Delegasi Jawatankuasa baharu WSC dibarisi Pengerusi Daniël Corsen, Pemangku Setiausaha Agung Pertubuhan Dunia Pergerakan Pengakap (WOSM), David Berg serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengakap Dunia, telah disambut barisan kepimpinan PPM yang turut disertai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Pengakap Malaysia di sini.

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa jawatankuasa baharu itu akan merangka asas untuk membina pergerakan Pengakap yang lebih kukuh dan lebih berkesan.

Pengerusi baharu WSC, daniël corsen bersama delegasinya membuat kunjungan hormat ke PPM di ibu pejabat Rumah Baden Powell, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur.Ihsan Ibu Pejabat PPM.

“Strategi yang anda reka dan keputusan yang anda buat akan menentukan hala tuju Pengakap untuk generasi akan datang dan mesyuarat ini mempunyai kuasa untuk memastikan pengakap terus menjadi lambang inspirasi, ketahanan, dan perpaduan di dunia yang amat memerlukannya.

“Pengakap tanpa ragu adalah salah satu kekuatan terbaik yang mampu membentuk masa depan belia dunia dan ia bukan sekadar sebuah organisasi sebaliknya merupakan pergerakan yang membawa harapan dan transformasi.

“Melalui Pengakap, kita sedang membina sebuah komuniti global yang melabur dalam belia hari ini, memberi mereka kekuatan untuk memimpin dengan integriti, berkhidmat dengan penuh kasih sayang, dan mencipta masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Pengakap Malaysia adalah sebuah organisasi yang dinamik dan berimpak dengan lebih daripada 150,000 ahli yang memimpin inisiatif dalam pemuliharaan alam sekitar, bantuan bencana, dan pembangunan masyarakat.

daniël corsen(kiri) beramah mesra dengan barisan kepimpinnan PPM termasuk Mohd Zin( tenga beruniform hijau) semasa kunjungan hormat WSC ke rumah Baden Powell di ibu pejabat PPM, Jalan Hang Jebat Kuala Lumpur.Ihsan Ibu Pejabat PPM

Menurut Mohd Zin, Pengakap membawa perubahan setiap hari dengan membuktikan bahawa belia bukan sahaja pemimpin masa depan, tetapi juga agen perubahan pada masa kini.

Beliau pada masa yang sama menyatakan kesediaan dan komitmen Malaysia terhadap Pengakap dan kesediaan untuk menyokong misi global oleh pergerakan sedunia.

Katanya, jawatankuasa baharu WSC yang berkumpul kali ini tampil dengan janji yang luar biasa dan inilah masa yang sesuai untuk bermimpi besar dan mengambil langkah berani untuk mencipta visi yang akan membawa Pengakap ke era kecemerlangan yang baru.

“Marilah kita mengingati kata-kata Mahatma Gandhi, ‘Cara terbaik untuk menemui diri sendiri adalah dengan mengabdikan diri untuk melayani orang lain’ dan sebagai pemimpin pergerakan global ini, keputusan anda bukan sahaja akan membimbing jutaan Pengakap, tetapi juga akan menyentuh kehidupan komuniti di seluruh dunia.

Daniël Corsen (kanan) mengambil masa melihat Galeri Sejarah PPM semasa kunjungan hotmat di Rumah Badan Powell, Ibu Pejabat PPM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ihsan Ibu Pejabat PPM.

“Biarlah perjumpaan di Malaysia menjadi permulaan babak baru untuk Pengakap iaitu menginspirasikan lebih ramai belia, mengukuhkan perpaduan global, dan mencipta impak yang lebih besar.

“Dunia memerlukan Pengakap lebih daripada sebelumnya dan bersama-sama, kita dapat memastikan ia mencapai potensi penuhnya dan saya yakin masa depan Pengakap menjadi lebih cerah selepas ini,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Daniël Corsen turut merakamkan penghargaan dan rasa terharu dengan sambutan yang diterima dari Pengakap Malaysia kepada delegasinya di Kuala Lumpur.

“Selaku Jawatankuasa Pengakap Dunia kami sangat terpegun dengan komitmen dan dedikasi yang dipamerkan oleh Pengakap Malaysia menjadi sebahagian dari pergerakan ini dan tambah nilai kepada pembangunan belia setiap masa.

“Kesungguhan serta sumbangan anda dalam melahirkan bukan sahaja pemimpin masa kini tetapi juga pemimpin masa depan adalah suatu yang sangat dihargai dan kami bangga anda menjadi sebahagian ahli kami menyumbang kepada generasi muda,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast