JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor melakukan serbuan di 16 premis sekitar daerah ini dan Batu Pahat pada 16 November lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan menerusi Op Noda itu memberkas 174 individu atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, tumpuan utama operasi adalah untuk membanteras aktiviti pelacuran di premis-premis hiburan, rumah urut dan hotel.
“Daripada 174 orang itu membabitkan sembilan lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan.
“Selain itu, seramai 29 lelaki warga asing masing-masing Vietnam (18), Myanmar (8), Filipina (2), Pakistan(1) dan 133 wanita warga asing iaitu Vietnam (93), Thailand (22), Myanmar (4), Indonesia (3), Laos (5) dan China (6) ditahan.
“Semua tangkapan berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 54 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di sebuah premis yang diserbu, polis turut menemui 101 botol arak jenis whisky, beer & brew yang disimpan dalam premis dan dipercayai tidak bercukai.
Katanya, turut dirampas pelbagai peralatan seperti kondom, cecair pelincir, buku catitan, tisu gulung, tuala, telefon bimbit, resit bayaran, mikrofon, speaker, mixer, televisyen, MP3 dan DVD player, amplifier, kad akses bilik, beberapa botol arak serta wang tunai berjumlah RM 14,174.
Jelasnya, kes disiasat bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari pelanggan bagi maskud persundalan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana pengawalan rumah persundalan dan Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan apa-apa barang yang tidak berkastam.
Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 kerana beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah,
Seksyen 11(2) ENJ kerana melanggar mana-mana syarat atau sekatan yang telah ditetapkan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja satu atau lebih orang, selain daripada warganegara atau pemegang permit masuk yang tidak memiliki suatu pas yang sah.
“Kita turut mengambil tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial serta Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri berada di Malaysia turut digunakan,” katanya.
Pada masa sama, Kumar berkata, polis Johor tidak akan berkompromi dan sentiasa komited dalam menangani isu membabitkan keselamatan, ketenteraman awam, selain menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat khususnya di Johor.
Tambahnya, bagi mana-mana premis yang terbabit dengan pelanggaran syarat lesen premis, tindakan pembatalan lesen akan diambil melalui kolaborasi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).- MalaysiaGazette