ISKANDAR PUTERI – Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik sudah mengenal pasti sebanyak 77 kawasan titik panas kesesakan di kawasan Greater Johor Bahru (JBJ) dan sekitarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohammad Salleh berkata, jawatankuasa itu juga menyediakenal pelan penyelesaian jangka pendek sederhana dan panjang untuk dilaksana bagi mengatasi masalah kesesakan trafik.
“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, pengurusan semula lalu lintas telah dibuat di beberapa kawasan iaitu seperti bantuan pihak polis trafik untuk membuat kawalan, pembukaan dan penutupan jalan serta penggunaan ‘flexible post’ bagi mengelak kenderaan yang memotong barisan di persimpangan.
“Kerajaan negeri melalui Pengangkutan Awam Johor (PAJ) juga akan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi meningkatkan lagi kekerapan bas di kawasan Bandaraya Johor Bahru.
“Melalui program Mybas dan Bas Muafakat Johor, ia akan memudahkan pergerakkan pengguna selain mengurangkan jumlah kenderaan di pusat bandar. InsyaAllah, bermula tahun depan, laluan bas ini akan diintegrasikan dengan mengambil kira taburan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) berkata demikian menjawab soalan Marina Ibrahim (DAP-Skudai) mengenai jaminan kerajaan negeri bagi memastikan trafik di sekitar Bandaraya Johor Bahru serta seluruh Greater JB tidak akan terbeban dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Projek RTS yang dijangka siap pada penghujung 2026 dan akan mula beroperasi pada 2027 bakal memudahkan perjalanan pengembara dari Malaysia dan Singapura merentasi sempadan kedua-dua negara itu.
Dianggarkan lebih 10,000 pengguna dianggar menggunakan khidmat RTS dalam tempoh sejam bagi perjalanan sepanjang empat kilometer.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, selain RTS kerajaan negeri merancang untuk memperkasa pengangkutan awam lain seperti bas bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga berhasrat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan Park-and-Ride (P&R) di sekitar stesen RTS dan di beberapa kawasan strategik lain bagi membolehkan penduduk dari kawasan luar bandar untuk meletakkan kenderaan mereka dan menggunakan pengangkutan awam ke pusat bandar.
“Kemudahan P&R di luar pusat bandar adalah satu pendekatan berkesan untuk mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandar. Dalam konteks projek RTS Link, kemudahan P&R boleh menjadi solusi yang efisien untuk memudahkan penduduk tempatan dan pelawat mengakses sistem pengangkutan awam tanpa perlu membawa kenderaan mereka ke pusat bandar.
“Selain pengurusan trafik serta menambah baik jajaran pengangkutan awam seperti bas, terdapat beberapa projek yang melibatkan pelebaran jalan serta naik taraf jalan akan siap menjelang 2026 dan 2027,” ujarnya.- MalaysiaGazette