Gambar hiasan

Oleh: Prof Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor & Nurfarahira Ahmad Yaccob

KEINGINAN untuk mempunyai zuriat bagi setiap pasangan suami dan isteri adalah fitrah manusia yang telah tertanam sejak azali. Namun, bagi sebahagian pasangan, perjalanan menuju keibuan dan kebapaan bukanlah satu pelayaran yang tenang. Cabaran dalam proses mengandung sering kali menjadi ujian berat yang bukan sahaja menguji kesabaran, malah menggoncang emosi mereka.

Apabila harapan untuk mempunyai anak kandung semakin pudar, perasaan kosong dan kehilangan menjadi emosi yang menyelimuti jiwa buat pasangan yang telah berkahwin.
Kekosongan ini bukanlah sekadar kesedihan semata-mata, tetapi satu jurang emosi yang dalam dan boleh membawa impak yang negatif sekiranya individu tidak dapat mengurusnya dengan baik.

Pasangan yang mengalami kesukaran mengandung sering kali rasa terasing, seolah-olah mereka sedang melalui perjuangan ini sendirian akibat melihat pasangan yang lain lebih mudah untuk mendapat zuriat setelah mendirikan rumah tangga. Tambahan pula, perasaan bersalah, marah, dan kecewa juga kerap timbul, terutamanya apabila mereka sentiasa meletakkan harapan serta telah melakukan pelbagai usaha mendapatkan zuriat.

Kesukaran mengandung mempunyai impak psikologi yang luas dan kompleks. Selain perasaan kosong, pasangan juga mungkin mengalami perasaan sedih yang berpanjangan, contohnya individu akan mengasingkan diri daripada orang lain dan menangis di dalam bilik dalam tempoh yang lama. Kemudian, mereka akan kehilangan minat terhadap aktiviti yang sebelum ini disukai, dan perubahan pola tidur dan makan yang mana perkara ini merupakan beberapa gejala kemurungan yang sering muncul terhadap mereka yang mempunyai kesukaran untuk mengandung.

Seterusnya, ketakutan terhadap masa depan, kebimbangan akan pandangan orang lain, yang mana terdapat segelintir masyarakat yang mudah mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan dan cemuhan terhadap mereka begitu juga dengan kerisauan akan kegagalan dalam menjalani rawatan kesuburan boleh menyebabkan tahap kegelisahan yang tinggi. Di samping itu, proses rawatan kesuburan yang panjang dan meletihkan, serta ketidakpastian akan hasil, boleh menyebabkan tahap tekanan yang kronik. Ini disebabkan tiada jaminan yang setiap kitaran rawatan akan berjaya.

Kesukaran mengandung bukan sahaja memberi kesan kepada individu, tetapi juga kepada hubungan pasangan. Perbezaan dalam cara mengatasi tekanan, harapan yang tidak realistik, dan komunikasi yang buruk boleh menyebabkan konflik dan ketegangan dalam hubungan. Salah seorang pasangan mungkin menyalahkan diri sendiri atau pasangannya, manakala yang lain mungkin menarik diri dan menutup diri.

Oleh itu, disarankan supaya setiap pasangan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata membantu serta menyokong antara satu sama lain dengan cara berkomunikasi secara terbuka, membuat perbincangan tanpa menghakimi, meminta pendapat dan memahami emosi yang dirasai masing-masing. Hal ini amat penting kerana
sekiranya pasangan itu sendiri tidak menyokong dan memahami, maka semakin terjejas emosi individu dan boleh merosakkan hubungan perkahwinan. Kepentingan
sokongan pasangan memberi impak yang positif dalam rumah tangga agar individu akan mensyukuri kebahagiaan dan kemanisan perkahwinan bukan sahaja dengan
memiliki cahaya mata namun mempunyai pasangan yang baik.

Beberapa faktor yang boleh mempengaruhi intensiti dan tempoh emosi yang dialami oleh pasangan yang mengalami kesukaran mengandung, antaranya pasangan yang lebih
berusia cenderung mengalami tekanan yang lebih besar kerana peluang untuk mengandung secara semula jadi semakin berkurangan. Sebagai contoh, semakin meningkat usia seorang wanita, semakin kurang penghasilan telur di dalam ovari.

Maka, peluang untuk mengandung juga akan menjadi rendah. Perkara ini akan mendatangkan tekanan yang tinggi kepada individu tersebut kerana beranggapan bahawa
dirinya tidak berkemampuan untuk merealisasikan impiannya iaitu untuk menimang cahaya mata. Selain itu, norma sosial dan jangkaan budaya turut mempengaruhi cara pasangan memandang dan mengatasi kesukaran mengandung. Sebagai contoh, sesetengah masyarakat di Malaysia menganggap memiliki anak adalah sesuatu perkara penting dalam kehidupan berkeluarga dan terdapat juga orang di sekeliling yang sering kali membuat perbandingan sehingga mereka berasa terasing.

Tekanan ini akan semakin mendalam terhadap pasangan tersebut. Jenis rawatan yang dipilih dan hasil yang diperolehi boleh mempengaruhi pengalaman emosi pasangan kerana ianya melibatkan tenaga, kos yang tinggi dan ketahanan mental mereka sendiri. Oleh itu, kewujudan sokongan daripada keluarga, sahabat, dan kumpulan sokongan boleh membantu pasangan mengatasi kesukaran emosi yang dialami. Tekanan negatif daripada keluarga, rakan, dan masyarakat untuk segera mempunyai anak boleh memburukkan lagi keadaan.

Walaupun menghadapi cabaran yang berat, pasangan yang mengalami kesukaran mengandung boleh mengambil langkah-langkah untuk mengatasi emosi yang negatif dan
meningkatkan kualiti hidup mereka. Beberapa strategi untuk mengatasi yang berkesan antaranya bergabung dengan kumpulan sokongan boleh membantu pasangan merasa tidak keseorangan dan mendapat sokongan emosi daripada orang yang mempunyai pengalaman serupa.

Selain itu, terapi individu atau pasangan boleh membantu pasangan mengenal pasti dan mengatasi emosi yang sukar, serta membangun kemahiran mengatasi yang lebih berkesan. Anda boleh merujuk kepada pakar atau ahli profesional seperti kaunselor, ahli terapi, pakar perubatan dan lain-lain untuk mendapatkan perkhidmatan yang bersesuaian. Kemudian, amalan kesedaran diri dan meditasi boleh membantu pasangan mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesedaran diri bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Bagi seorang Muslim, mereka disarankan untuk melihat kehidupan dari pelbagai sudut supaya dapat menanamkan rasa syukur kepada Illahi atas kurniaanNya. Anda juga boleh melakukan senaman secara teratur untuk membantu meningkatkan mood dan mengurangkan kegelisahan.

Kesukaran mengandung merupakan satu perjalanan emosi yang kompleks dan mencabar. Dengan memahami kerumitan emosi yang terlibat, kita dapat memberikan sokongan yang lebih baik kepada pasangan yang sedang berjuang. Penting untuk diingat setiap pasangan mempunyai pengalaman yang unik, dan tidak ada satu pendekatan yang sesuai untuk semua. Dengan sokongan yang tepat, pasangan boleh menemukan kekuatan dalam diri mereka untuk mengatasi kesukaran dan membina kehidupan yang lebih bahagia.

 

Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Nurfarahira Ahmad Yaccob

Kedua-dua penulis adalah dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast