ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk, termasuk menghadkan lesen pusat hiburan.
Menurutnya, Parlimen sudah meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada Oktober 2020 berhubung hukuman berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau berpendapat, kemalangan membabitkan golongan itu boleh dikurangkan dengan penambahbaikan beberapa perkara termasuk menghadkan jualan minuman keras di pasaran dan kedai serbaneka.
“Atau meletakkan premis yang menjual minuman keras ini di kawasan yang bertol (percuma), agar kenderaan yang keluar dari kawasan ini dapat dipastikan pemandunya bebas dari pengaruh alkohol.
“Selain memperkasakan lagi kempen keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan berterusan oleh pelbagai agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Hasrunizah berkata, daripada segi pendidikan boleh diperkasa menerusi Pusat Latihan Memandu menjelaskan kepada pemandu baru tentang hukuman berat memandu bawah pengaruh alkohol.
Beliau turut mencadangkan agar setiap kedai arak berlesen menyediakan kemudahan pemandu upahan, yang menjadi satu syarat untuk mendapatkan lesen penjualan minuman keras itu.
“Kenakan syarat ‘Designated Driver’ atau kemudahan pemandu upahan seperti yang dilakukan di Australia dan Jepun, di mana negara terbabit berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk,” ujarnya.
Pada 16 November lalu, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini kira-kira pukul 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.
Kesemua mereka ini kini di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah keluarga bapa, iaitu Ramlah Kasiran, 56 dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61. – MalaysiaGazette