Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tujuh pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar OKU

JOHOR BAHRU – Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) di stor sebuah sekolah antara Disember 2023 sehingga Ogos lalu.

Mohd Zulkurnain Mohd Zain, 34, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan merogol selain lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 14 tahun tahun lalu dan kini 15 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang antara Disember tahun lalu dan tiga bulan lalu dalam stor sebuah sekolah, di sini.

Bagi kesalahan merogol tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili Iskandar Shah Ibrahim.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah supaya mengenakan jaminan berjumlah RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tujuh pertuduhan selain syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan pada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang dicadang kepada RM30,000.

“Tertuduh seorang penjawat awam yang bergaji kasar RM3,000 sebulan manakala isterinya pula hanya mendapat RM1,800 sebulan, malah dia juga menderita penyakit apendiks,” kata peguam tertuduh.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM35,000 dengan seorang penjamin selain syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan pada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Disember depan bagi penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here