KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain selaras dengan Undang – Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bagaimanapun, huruf- huruf bagi perkataan- perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada tulisan perkataan dalam bahasa lain.
Jika nama sesuatu firma, persatuan atau syarikat, sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri dari atau termasuk perkataan-perkataan yang bukan dalam bahasa kebangsaan, maka tidaklah perlu untuk menterjemahkan perkataan – perkataan itu ke dalam bahasa kebangsaan.
Menurutnya, sepanjang tahun 2024, DBKL dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjalankan operasi di enam lokasi pusat membeli belah dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 31 notis kesalahan terhadap premis- premis yang menyalahi peraturan.
Antaranya premis mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda.
“Premis ini akan dikenakan tindakan kompaun oleh DBKL. Tindakan menurunkan papan iklan juga boleh dilakukan oleh DBKL,” katanya yang mengulas berita mengenai
penguatkuasaan papan tanda dwibahasa di sekitar Kuala Lumpur
Selain itu, premis mempunyai lesen perniagaan dan lesen iklan papan tanda tetapi melanggar syarat- syarat iklan iaitu seperti yang termaktub dalam Undang – Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu perkataan dalam bahasa kebangsaan perlu lebih besar dari saiz huruf dalam bahasa lain.
DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi Undang- Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah ditetapkan dan selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan/bahasa rasmi negara Malaysia.
Tambahnya, DBKL bertanggungjawab memproses dan meluluskan papan tanda iklan premis perniagaan yang merupakan sebahagian daripada lesen komposit iaitu lesen
yang diluluskan bersama lesen premis perniagaan.
Semua pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan, perlu terlebih dahulu memohon lessen sebagaimana diperuntukkan di dalam perenggan 5 (1) Undang-undang Kecil Iklan WPKL 1982.
Bagi permohonan lesen papan tanda premis ini, pengesahan visual daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka adalah salah satu dokumen wajib yang perlu diserahkan oleh pemohon kepada DBKL untuk kelulusan.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Katanya, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
“Beberapa pelawat antarabangsa bertanya secara langsung kepada saya, adakah Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama?
“Keraguan ini secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.
“Realitinya, kita adalah negara berbilang kaum, budaya dan agama. Kita tidak boleh mencipta imej negatif palsu yang bercanggah dengan realiti ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau baru-baru ini. – – MalaysiaGazette