KUALA LUMPUR- Pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal positif pada September 2024 dengan mencatatkan 1.8 peratus, mencapai 111.5 mata berbanding 109.5 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ini merupakan prestasi positif bagi bulan kesepuluh berturut-turut sejak Disember 2023, menunjukkan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negara. Indeks Perindustrian Bursa Malaysia merupakan penyumbang utama kepada kenaikan ini iaitu sebanyak 30.4 peratus.
Walau bagaimanapun, prestasi bulanan IP menunjukkan penurunan sebanyak 2.6 peratus disebabkan oleh penurunan dalam kebanyakan komponen kecuali Penawaran
Wang Benar, M1 dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, masing-masing menyumbang 0.2 peritus, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Melihat kepada trend jangka panjang terlicin pada Ogos 2024, IP konsisten melepasi 100.0 mata, menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka terus tumbuh, disokong oleh prestasi ekonomi domestik yang optimis.
Namun begitu, cabaran global mungkin menimbulkan potensi risiko kepada trajektori pertumbuhan ini.
Berhubung prestasi ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) turut mengalami peningkatan tahunan sebanyak 1.3 peratus, mencecah 125.6 mata berbanding 124.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya disumbangkan oleh hampir kesemua komponen kecuali Gaji & Upah Benar dalam Pembuatan yang menyusut 0.6 peratus.
Bagaimanapun, prestasi bulanan IS mengalami penurunan marginal sebanyak 0.7 peratus, disebabkan oleh penurunan empat daripada enam komponen kecuali Jumlah Guna Tenaga dalam Pembuatan (0.1%) dan Gaji & Upah Benar dalam Pembuatan (0.02%) yang menunjukkan sedikit peningkatan. – MalaysiaGazette