KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara akan menjawab mengenai tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi menuntut pengisytiharan keputusannya yang tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Jelas beliau, perkara itu perlu ditangani dengan lunas undang-undang kerana ia dibuat juga mengikut peruntukan udnang-undang.
“Sudah tentu pihak Peguam Negara akan jawab bagi pihak kerajaan, jadi saya serahkan kepada Peguam Negara untuk melaksanakan tugas mereka dan kita akan tengok selepas ini.
“Saya tidak boleh komen sebab saya bertindak atas landasan undang-undang, jadi kita kena selesaikan ikut lunas undang-undang. Kalau ikutkan perasaan, tidak boleh. Kena ikut undang-undang,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Elimination Of Violence Against Women (“EVAW”) di lobi Parlimen hari ini.
Johari sebelum ini berkata, adalah menjadi hak kepada mana-mana individu mahupun parti untuk membuat tindakan saman kepada keputusan yang telah diputuskan oleh beliau.
Malah beliau memberitahu pihaknya telah menerima surat writ saman daripada Bersatu berhubung keputusannya tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti itu.
Johari bagaimanapun berkata, surat writ saman itu bagaimanapun masih belum disemak selepas dimaklumkan menerimanya pada minggu lalu.
“Saya belum tengok lagi tapi saya akan semak tapi saya dimaklumkan telah dihantar tapi saya belum tengok lagi. Saya ingat minggu lepas tapi saya belum tengok lagi,” katanya lagi.
Sebelum ini, Bersatu menerusi Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif mengemukakan saman pemula pada 15 November lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Mereka menamakan Johari dan lima ahli Parlimen iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.
Bersatu memohon pengisytiharan antaranya Johari melalui surat bertarikh 9 Julai lalu bertindak menyalahi peruntukan nyata Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit.
Dokumen saman tersebut memohon pengiisytiharan antaranya Johari bertindak menyalahi peruntukan nyata Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit melalui surat bertarikh 9 Julai lalu.
Dua plaintif ini turut memohon perisytiharan bahawa mahkamah berhak memperbetulkan mana-mana tafsiran salah termasuk tafsiran oleh Johari, atau mana-mana Speaker Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette