PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan pas khas dalam talian (eSP) bagi warga asing yang ingin memasuki dan tinggal di negara ini tidak melebihi tempoh 30 hari bermula Januari tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu antara usaha pendigitalan dalam memperkasakan kecekapan pentadbiran dan mempercepatkan urusan kerajaan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JIM meluncurkan pelaksanaan eSP yang merupakan antara inisiatif dalam menstransformasi penyampaian perkhidmatan ke arah pendigitilan.
“Pas khas merupakan satu dokumen yang dikeluarkan kepada warganegara asing bertujuan untuk memberi hak kepada pemegang masuk dan tinggal di Malaysia tidak melebihi tiga puluh hari berdasarkan kepada peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pada masa ini, urusniaga permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual di mana pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.
Jelasnya, secara purata 50 peratus warga asing yang hadir ke Pejabat Imigresen adalah untuk urusan menyelaras keberadaan di Malaysia, ia menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit.
“Pada tahun 2023, sebanyak 139,344 pas khas dikeluarkan manakala, setakat Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 pas khas dikeluarkan kepada warganegara asing.
“Jadi, pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berususan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, eSP platform permohonan secara dalam talian dalam menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang mempunyai pas yang masih sah.
Mana-mana warga asing yang sedang menunggu Keputusan untuk permohonan baharu, lanjutan, pertukaran PLS Jangka Panjang atau yang mengalami masalah seperti sakit (dimasukkan ke hospital), kemalangan jalan raya, bencana alam, berada di dalam situasi yang di luar kawalan pemohon serta lain-lain sebab yang difikirkan wajar dan munasabah, boleh memohon kemudahan eSP.
“Secara asasnya, eSP adalah suatu kemudahan kepada pemohon dalam menguruskan hal berkaitan imigresen, terutamanya dalam situasi kecemasan atau yang memerlukan pertimbangan khas.
“Namun, KDN tidak berkompromi dari aspek keselamatan, meskipun proses permohonan dilakukan secara dalam talian, aspek keselamatan dan ketelusan tidak diabaikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette