KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memantau sindiket penyeludupan dadah berdekatan Sungai Golok, Kelantan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, tindakan itu bagi mengenal pasti lorong tikus atau laluan lain yang kerap digunakan sindiket terbabit bagi membanteras jenayah tersebut.
“Saya telah memberikan arahan kepada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk memastikan isu berkaitan penyeludupan dadah ini dijalankan tindakan dengan segera.
“Kerjasama turut dijalankan bersama pelbagai elemen antaranya PGA dan juga pelbagai agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa yang mengawal sempadan.
“Ini termasuk menfokuskan kepada semua laluan yang dikenal pasti menjadi lorong tikus bagi kegiatan penyeludupan dadah serta kawasan yang menjadi titik panas dalam kegiatan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Tambah beliau, kerjasama itu turut dijalankan dengan pihak berkuasa jiran dalam memastikan kegiatan penyeludupan dadah dapat ditangani dan dibanteras.
Sebelum ini media melaporkan, enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi popular Kelantan ditahan bersama 6,000 kuda di Golok pada 1 November lalu.
Tangkapan itu melibatkan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 32 tahun pada jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur. – MalaysiaGazette