Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

KUALA LUMPUR – Sebelum sidang pagi berhenti rehat, Dewan Rakyat kecoh ekoran kenyataan Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang membidas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.

Mas Ermieyati berkata, kenyataan King Sing berhubung isu penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memalukan dan tidak mencerminkan dirinya sebagai menteri.

“Ini adalah kenyataan yang tidak benar dan memalukan, sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sepatutnya (King Sing) mengangkat budaya kita dan mempertahankan seni dan budaya.

“Sultan Selangor sudah arah tanggalkan papan tanda tulisan Cina (seperti) dilaporkan Berita Harian pada 19 November 2018 sebab inilah tak usah menteri (King Sing) buat drama memetik agenda perkauman,” katanya.

Kenyataan Mas Ermieyati itu terus mendapat respon beberapa ahli Parlimen kerajaan.

Antaranya Chong Zemin (PH-Kampar) dan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang bingkas bangun mempersoalkan kenyataan dibuat Mas Ermieyati.

Mas Ermieyati ketika menyambung perbahasan memaklumkan kenyataan King Sing sangat berbahaya dan boleh dianggap sebagai menyentuh isu 3R merujuk agama, bangsa dan institusi raja.

Beliau juga menyifatkan kenyataan King Sing seolah-olah merendah-rendahkan pelancong dari China.

“Tengok sajalah dekat Thailand dan Indonesia tak ada pun sibuk nak please pelancong dari China (sampai nak) menggunakan bahasa mereka sendiri tetapi dekat Malaysia ini kenapa pula nak buat macam tu.

“Ini memalukan, saya rasa pelancong negara China tak hairan pun (kalau papan tanda tak guna bahasa China), mereka tetap boleh masuk kedai dan masih boleh melawat,” katanya.

Zhemin yang masih tidak berpuas hati terus cuba mencelah sambil membangkitkan peraturan dewan mengikut Seksyen 36(6) namun Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng menegaskan untuk memberi laluan kepada Mas Ermieyati untuk menggulung perbahasan.

“Sebab itu saya suka cadang kepada Kerajaan Madani tolong tukar Menteri Pelancongan kepada menteri bertanggungjawab menjaga penguatkuasaan atau ganti KPDN pun tak apa.

“Biar dia (King Sing) pergi raid (serbu) pun tak apa sebab memang sesuai dengan penguatkuasaan,” kata Mas Ermieyati sebelum menamatkan perbahasan.

Disebabkan kekecohan itu, Alice mengarahkan Mas Ermieyati untuk menamatkan penggulungan perbahasan beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here