KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluncurkan Kit Duta Sahsiah sebagai panduan pelajar yang dilantik sebagai suri teladan dalam membantu dan mencegah salah laku disiplin dalam kalangan rakan sebaya.
Kit setebal 46 muka surat itu diluncurkan secara serentak oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melibatkan 10,235 buah sekolah, 146 pejabat pendidikan daerah dan 16 jabatan pendidikan negeri.
Menurut Fadlhlina, objektif utama Kit Duta Sahsiah untuk menggagaskan optik lebih jelas mengenai hala tuju sahsiah murid dalam membantu pihak sekolah menangani isu salah laku disiplin murid dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
“Dalam dunia yang kita perhatikan ini ada segmen yang kita boleh kawal dan ada segmen yang kita tidak boleh kawal, jadi suri teladan ini sangat penting.
“Ketika ini, kita kebanjiran idola tetapi kemarau suri teladan, ada beza yang cukup besar antara idola dan teladan, ini yang mesti kita angkat dalam masyarakat kita untuk dipertonton dan dipersembahkan kepada kapada anak kita, apa dia idola, dengan suri tauladan.
“Dalam kemelut inilah kita mencari untuk memastikan anak-anak kita tidak keliru yang mana satu idola, mana satu teladan,” katanya dalam ucapan peluncuran, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta Ketua Pengarah Pelajaran, Azman Adnan.
Majlis Peluncuran Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 turut melibatkan hampir 5 juta orang murid d iseluruh negara.
Duta Sahsiah ialah pelajar yang dilantik untuk mempromosi dan mengamalkan nilai-nilai dan perilaku positif.
Peranan Duta Sahsiah isebagai model perilaku positif, menyebarluaskan nilai, membantu dalam pendidikan dan menggalakkan sikap positif
Fadhlina berkata, ketika ini setiap sekolah sudah mempunyai Duta Sahsiah kerana program itu telah dilancarkan oleh KPM pada 31 Oktober 2023.
“Setiap sekolah ada, seberapa ramai boleh kita dapat. Kalau 5 juta anak-anak kita jadi duta sahsiah lagi bagus. Maknanya seramai mungkin kita angkat.
“Mereka ini akan dinilai oleh guru-guru dan kita harap dengan adanya kit ini akan meningkatkan lagi jumlah pelajar yang akan dilantik,” kata Fadhlina kepada media selepas majlis pelancaran.
Sementara itu Wan Hassan berkata, sehingga kini PDRM mempunyai seramai 10,235 PPS di 2,458 sekolah rendah dan 7,777 sekolah menengah di bawah kelolaan KPM.
Kit Duta Sahsiah disediakan dengan perancangan yang teliti bertujuan untuk menyokong mereka yang dilantik bagi mendidik, memotivasikan, dan menggerakkan komuniti bersama-sama memperjuangkan sahsiah dan keperibadian yang baik dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan.
Ia selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu memupuk amalan dan tingkah laku positif dalam kalangan murid ke arah melahirkan insan yang seimbang, harmoni dan sejahtera.
Kit ini mengandungi pelbagai modul latihan dan bahan rujukan yang meliputi aspek komunikasi, kepimpinan, dan penyelesaian masalah yang merupakan antara elemen penting dalam membentuk karakter karamah insaniah.
Terdapat juga alat bantu seperti poster, risalah, dan kad aktiviti yang boleh digunakan untuk mendekati komuniti secara kreatif dan berkesan. – MalaysiaGazette