Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan rampasan dadah bernilai Rm3.3 juta pada sidang media kejayaan tangkapan dan rampasan dadah syabu oleh JSJN Selangor di Auditorium Menara 1, IPK Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 NOVEMBER 2024

SHAH ALAM – Seorang lelaki bersama kekasihnya seorang warga Indonesia ditahan polis dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu untuk pasaran antarabangsa bernilai RM3.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 24 tahun itu dicekup di sebuah bilik rumah tumpangan di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam pada 21 November lalu.

Tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam kira-kira 5 petang hasil risikan selama tiga bulan yang dijalankan.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas tiga paket plastik disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 83.15 gram yang ditemui dalam bilik tersebut.

“Susulan tangkapan, suspek lelaki telah dipandu arah polis ke sebuah kereta jenis Honda Accord yang diletakkan di sebuah rumah sekitar Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

“Hasil pemeriksaan dalam bonet kereta itu, polis telah merampas sebanyak 91 bungkusan plastik berisi syabu dengan berat 94.64 kilogram (kg),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah yang dirampas adalah 94.72 kg yang dianggarkan RM3.3 juta dan boleh dibekalkan kepada 186,446 penagih dadah.

“Suspek lelaki disyaki sebagai transporter menerima upah sebanyak RM140,000 setiap penghantaran barangan tersebut.

“Selain itu, suspek seorang mekanik kereta itu juga sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak manakala suspek wanita bertindak sebagai ‘penjaga stor’, seorang bujang dan tidak bekerja.

“Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah malah hasil saringan awal air kencing kedua-dua suspek juga disahkan positif methamphetamine,” jelasnya.

Kok Chin juga memaklumkan, kedua-dua suspek kini direman enam hari bermula 22 hingga 29 November ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Modus operandi sindiket itu adalah beroperasi dengan mendapatkan bekalan dadah dari utara tanahair dan akan menghantar barangan tersebut ke Indonesia melalui jalan laut.

“Polis Diraja Malaysia turut mengadakan kerjasama dengan polis Indonesia bagi menyiasat kes ini. Kebetulan saya akan ke Indonesia pada 27 November ini untuk perbincangan dengan polis di sana.

“Perbincangan kami adalah bertujuan berkongsi maklumat berkaitan dengan isu jenayah pengedaran dadah yang membabitkan kedua-dua negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here