KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat punca kematian mengejut seorang lelaki warga asing yang sedang dalam tahanan di balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan sekitar jam 1.30 tengahari selepas bertindak agresif sewaktu transit di KLIA.
Dia dikatakan sedang dalam perjalanan dari United Kingdom ke Phuket, Thailand.
“Ketika tangkapan dibuat, OKT masih bertindak agresif hingga merosakkan barang-barang milik balai polis malah mengakibatkan kecederaan terhadap dua anggota polis serta seorang polis bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, penahanan lelaki itu telah dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Akta yang sama.
Hussein juga memaklumkan, semasa proses dokunentasi, OKT tidak sedarkan diri dan telah diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam. Namun punca kematian belum dikenal pasti dan memerlukan keputusan siasatan makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan diteruskan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” jelasnya.
Pada masa sama katanya, siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut sebelum diserahkan kepada koroner.
Hussein menjelaskan, kes ini juga akan dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakukan Polis (IPCC) selaras dengan kehensak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakukan Polis 2022 (Akta839). – MalaysiaGazette