Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyambut baik hasrat Menteri Dalam Negeri yang menggesa setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengoperasian masing-masing.

Ketua pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya sentiasa proaktif meneroka penggunaan teknologi moden seperti AI sebagai langkah strategik perkukuh pengawasan keselamatan perairan negara.

Katanya, menerusi teknologi AI, ia bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada rondaan fizikal tetapi meningkatkan keberkesanan operasi di kawasan yang sukar dicapai.

“Penggunaan dron atau bot autonomi yang dikawal melalui teknologi AI misalnya dilihat mampu menjalankan rondaan automatik di kawasan yang luas, mengesan aktiviti mencurigakan dan menganalisis data masa nyata untuk tindakan pantas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia kini merancang perolehan radar baharu untuk diletakkan di kawasan strategik seperti perairan Sarawak dan pantai timur Semenanjung

Penempatan radar itu,kata beliau, akan memperluaskan liputan pengawasan maritim, selain meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

“Radar-radar baharu ini akan disepadukan dengan teknologi AI di bawah sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA) di mana ia mampu menganalisis data dengan lebih komprehensif dan responsif.

“Gabungan teknologi ini diyakini dapat memperkukuh keselamatan serta memastikan keberkesanan penguatkuasaan di perairan Malaysia,” ujarnya.

Mohd Rosli turut berharap usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia mendapat sokongan penuh daripada KDN dalam memastikan pelaksanaan penggunaan teknologi tersebut dapat diaplikasikan dengan berkesan.

“Penerapan teknologi AI bukan sahaja relevan tetapi juga menjadi keperluan strategik untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim pada masa hadapan.

“Penggunaan teknologi ini juga membolehkan Maritim Malaysia mengoptimumkan sumber manusia dan aset sedia ada, selain memastikan kawalan yang lebih efisien di perairan negara, terutama dalam menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing dan jenayah maritim,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli memaklumkan pihaknya melalui Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia sentiasa memastikan penyaluran maklumat kepada media untuk operasi yang dijalankan adalah berpandukan Pelan Komunikasi yang telah disusun agar berita yang ingin disampaikan kepada masyarakat terancang dan berfokus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here