Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang mempersoalkan tindakan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau yang dilihat gemar membahas isu dalaman Perikatan Nasional (PN) berbanding isu nasional.

Ketua Penerangannya, Ibrahim Ani berkata, Dominic sepatutnya memanfaatkan kedudukannya sebagai pemimpin Gerakan untuk memperkukuhkan pengaruh parti tersebut dalam arena politik nasional, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina.

Bagaimanapun, jelasnya, Gerakan di bawah pimpinannya dilihat lemah dan lebih malang apabila beliau sendiri ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu di negeri ini.

“Beliau (Dominic) sendiri tahu betapa pengaruh Gerakan dalam politik terlalu lemah dan tak bermaya. Kerusi DUN Melayu yang sepatutnya di menangi PN tetapi kalah apabila Dominic bertanding di kawasan majoriti Melayu tersebut.

“Sepatutnya Dominic membanyakkan cawangan, menggerakkan organisasi parti daripada sibuk mencari populariti di setiap isu dalaman yang timbul.

“Pimpinan Gerakan pelbagai peringkat seperti tiada hala tuju macam anak ayam kehilangan ibu dan ada ketikanya Gerakan seperti suara DAP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Ibrahim, sudah tiba masanya pimpinan PN menilai semula kedudukan Gerakan dalam gabungan itu dan mempertimbangkan MCA dalam parti.

“Kewujudan Gerakan dalam PN seperti pepatah ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. Jangan sampai kewujudan Gerakan seperti menanggung biawak hidup kerana adanya menambah beban.

“Jadi sudah tiba masanya PN memikirkan kedudukan Gerakan dalam gabungan ini dan mungkin MCA dilihat lebih sesuai kerana Gerakan lebih suka berpolemik daripada melaksanakan peranan mereka perkukuhkan parti PN,” katanya.

Media semalam melaporkan Gerakan akan membangkitkan isu perbezaan pendapat mengenai calon perdana menteri PN dalam mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu pada bulan depan.

Dominic Lau menegaskan, Gerakan tidak setuju dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa Pas lebih layak untuk mengetuai gabungan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here