Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing disifatkan sebagai tidak faham Perlembagaan apabila menyatakan penggunaan Bahasa Melayu dalam papan iklan boleh memberi kesan buruk kepada industri pelancongan.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sepatutnya King Sing mengkaji Perlembagaan negara terlebih dahulu dan perlu menerima hakikat bahawa bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu.

“Hubungan antara kaum di negara kita cukup akrab walaupun bahasa rasmi negara adalah Bahasa Melayu. Kepelbagaian budaya menyemarak dengan begitu baik di tanah air kita sejak pendatang asing memasuki Malaysia.

“Hak mereka tidak pernah disekat atau ditekan tetapi dalam masa sama, mereka harus menghormati undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Jangan cuba untuk tukarkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara China kecil di rantau Asia Tenggara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan King Sing mengkritik penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana ia mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

King Sing berkata, langkah kontroversi itu menyebabkan rasa tidak puas hati yang ketara dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan beberapa pelancong antarabangsa.

Kenyataan King Sing turut mengundang kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Khairuddin, semua papan tanda di Thailand ditulis menggunakan bahasa Siam namun tetapi industri pelancongan negara jiran itu lebih baik daripada Malaysia.

“Perdana Menteri Thailand sekarang adalah dari keturunan Cina, tetapi di Thailand tidak kelihatan papan-papan tanda mereka dipenuhi dengan bahasa Cina namun mereka tetap maju dalam pelbagai segi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan King Sing sebagai merepek apabila membuat teguran kononnya kenyataan Dr Mahathir boleh menjejas industri pelancongan.

“Sebenarnya para pelancong asing datang ke tanah air kita untuk melihat identiti pribumi tulen khususnya adat resam Melayu dan sebagainya.

“Kita terpaksa terima hakikat kewujudan Malaysia adalah daripada Tanah Melayu. Kalau pelancong antarabangsa bangga sangat dengan penulisan bahasa Cina, sudah pasti mereka akan pergi ke China untuk tujuan tersebut,” katanya.

Katanya, penggunaan Bahasa Melayu tidak akan menjejaskan industri pelancongan malah ia akan menzahirkan satu identiti tulen terbaik kepada keseluruhan pelancong-pelancong asing.

“Apakah juga dengan mengguna Bahasa Melayu pada papan-papan tanda akan memudaratkan kepelbagaian budaya di negara kita?

“Sebenarnya, tiada kaitan langsung pun dan analisa Menteri Pelancongan Malaysia mengenai isu ini cukup dangkal serta kurang cerdik.

“Kita suruh Menteri Pelancongan pergi ke Filipina, Thailand, Vietnam serta negara-negara lain untuk melihat tanpa penggunaan bahasa Cina pada papan-papan tanda, apakah industri pelancongan mereka merosot?” soalnya.

Beliau turut menyeru pihak penguat kuasa undang-undang agar tidak berkompromi dengan penggunaan Bahasa Cina secara mutlak pada papan-papan tanda di negara kita kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.

“Tindakan tegas harus dikenakan pada pihak-pihak yang menggunakan papan-papan tanda dalam Bahasa Cina secara mutlak kerana Malaysia bukan China,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here