Seorang pelajar perempuan maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang ditunggangi terbabas di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Peringgit Jaya petang semalam.

MELAKA – Seorang pelajar perempuan maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang ditunggangi terbabas di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Peringgit Jaya petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Nurul Emelda Faiz Wendyson, 17, meninggal dunia di lokasi manakala pembonceng dikenali sebagai Naila, 20, luka di beberapa anggota badan.

Seorang lagi penunggang juga merupakan pelajar sekolah, Mohammad Fazlyzan Shah Mohd. Farid yang menunggang motosikal Honda Vario ACB cedera di tangan dan lutut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda ditunggang Nurul Emelda yang dari arah Merlimau menghala ke Balai Panjang hilang kawalan dan melanggar kon penghadang jalan sebelah kiri.

“Akibatnya penunggang dan pembonceng terjatuh sebelum motosikal ditunggang Mohammad Fazlyzan di belakangnya tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

“Rempuhan menyebabkan pelajar sekolah, Nurul Emelda meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala, manakala pembonceng serta Mohammad Fazlyzan mengalami luka-luka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati kesemua mangsa yang terlibat tidak mempunyai lesen menunggang.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast