PASIR GUDANG – Pemandu mabuk yang menyebabkan pasangan suami isteri maut dalam kemalangan di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini pada 16 November lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan, suspek berkenaan yang berusia 34 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pukul 9 pagi.
“Pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden itu.
“Kertas siasatan ini telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan tuduh ke atas pemandu kereta Produa Alza.
“Dua pertuduhan akan dikenakan terhadapnya dibbawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, dalam kejadian pukul 4 pagi itu, suspek memandu Produa Alza dari Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang, tiba di lokasi simpang empat lampu isyarat.
Katanya, pemandu terbabit meneruskan perjalanan walaupun lampu isyarat sedang merah.
“Kemudian datang penungang motosikal Honda Vario dinaiki pasangan suami isteri tersebut dari arah Jalan Mesjid bergerak terus (hala ke Bandar Pasir Gudang) dan berlaku pelanggaran.
“Akibat pelanggaran itu penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Hasil siasatan ujarnya, mendapati pemandu Produa Alza telah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras yang ditetapkan.
Kemalangan itu menyebabkan suami isteri terbabit, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pasangan terbabit meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3 menjadi yatim piatu dan kini dijaga datuk, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 dan neneknya, Ramlah Kasiran, 56.- MalaysiaGazette