KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berjaya diberkas selepas terlibat dalam kes samun dua beranak di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, Selangor minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sentosa sekitar jam 6.30 petang.
“Ini merupakan tangkapan kes samun berkawan di kawasan Jalan Batu Nilam 4, Bandar Bukit Tinggi yang berlaku pada 16 November lalu sekitar jam 8.20 malam.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati, suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 27 November ini oleh Mahkamah Majistrest Klang bagi siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Hoong Fong juga memaklumkan, tangkapan lelaki itu dilakukan susulan penahanan suspek pertama pada 17 November lalu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan. – Malaysia