Ranem Abu Izneid

MELBOURNE – Penuntut perubatan Australia, yang cedera diserang tentera Israel semasa serbuan di zon bukan pertempuran di Tebing Barat yang diduduki awal bulan ini, menuntut siasatan ke atas tembakan itu.

Ranem Abu Izneid, pelajar tahun ketiga pergigian di Universiti Al-Quds, yang terletak di Abu Dis berhampiran Baitulmaqdis – bukan zon pertempuran – cedera apabila bedilan peluru oleh tentera Israel menembusi tingkap asramanya dan serpihan itu mencederakannya pada kejadian 15 November lalu.

Dia cedera parah di muka, leher, kulit kepala dan dada serta mata kanannya tidak dapat melihat, lapor SBS News.

Abu Izneid dilahirkan di Jordan dalam keluarga Palestin yang kini menetap di Melbourne.

Dia tiba semula di Melbourne pada pagi Ahad dan kini berada di hospital untuk menerima rawatan.

Bercakap dari katil hospitalnya, mangsa memberitahu, dia mengalami kesakitan amat sangat dan tekanan emosi dengan masa depannya yang tidak pasti akibat serangan tersebut.

“Saya masih trauma dengan peristiwa itu dan tidak pasti dengan kesihatan untuk menyambung pelajaran,” ujarnya.

Abu Izneid dan keluarganya menuntut Kerajaan Australia campur tangan dalam penyiasatan bagaimana insiden itu berlaku di zon bukan pertempuran.

“Saya menuntut penyiasatan penuh dan telus terhadap serangan tidak wajar terhadap saya di dalam rumah saya sendiri,” katanya sambil menambah mereka yang melakukan serangan itu mesti bertanggungjawab,” tambah Abu Izneid.

Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia mengesahkan dalam satu kenyataan telah memberikan bantuan kepada seorang warga Australia di Tebing Barat.

“Kerajaan Australia sedang mencari maklumat lanjut tentang keadaan kejadian itu,” tambah kenyataan itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast