File picture

KUALA LUMPUR – Seramai 402,956 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memulakan sesi peperiksaan bertulis bermula 2 Januari hingga 6 Februari 2025.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, calon-calon berkenaan akan memulakan peperiksaan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 5 Disember ini.

Ia diikuti Ujian Amali Sains pada 9 hingga 12 Disember manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16 hingga 19 Disember.

Menurut kenyataan itu lagi, ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dijadual pada 31 Disember seterusnya Peperiksaan Bertulis dijadual pada 21 Januari hingga 6 Februari 2025.

“Kesemua calon bakal menduduki peperiksaan di 3,337 buah pusat peperiksaan seluruh negara dan seramai 126,636 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya.

KPM berkata, jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

Tambahnya lagi, calon diingatkan untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Calon juga diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran peperiksaan SPM 2024.

Menurut kenyataan itu lagi, KPM telah bersiap siaga dengan pelan tindakan termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

Calon yang terhalang untuk hadir ke pusat peperiksaan akibat bencana dinasihatkan segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Talian bilik gerakan peperiksaan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN juga disediakan untuk membantu calon dalam situasi kecemasan.

“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast