JOHOR BAHRU – Polis menahan empat lelaki kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti parkir haram di sekitar Jalan Wong Ah Fook, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka yang ditahan berusia 21 hingga 54 tahun itu ditahan antara pukul 8.30 hingga 11.50 malam.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Daerah Johor Bahru Selatan menjalankan operasi khas berhubung kesalahan parkir haram melibatkan seorang pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Johor Bahru Selatan.
“Dalam operasi ini empat lelaki ditahan kerana melakukan kesalahan berhubung parkir haram ini.
“Tangkapan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis Johor dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang jalan raya terutamanya dalam isu parkir haram yang merugikan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Pihaknya juga mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.- MalaysiaGazette