Ting Han ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencapai hasratnya dengan memberi sinar baharu kepada kumpulan sasaran ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting  Han berkata, program penempatan pekerjaan kepada golongan mudah terjejas itu dengan menawarkan pekerjaan dan gaji nilai yang lebih tinggi.

Katanya, golongan mudah terjejas yang disasarkan adalah seperti bekas banduan, orang kelainan upaya (OKU), pesara dan warga emas.

“Berdasarkan statistik PERKESO dari tempoh Januari hingga 8 November lalu, seramai 836 warga emas di negeri ini mendapat pekerjaan di bawah program yang sama.

“Ia melibatkan sebanyak 541 majikan dengan pengesyoran jumlah bayaran insentif sebanyak RM4.5 juta,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Ting Han (BN-Paloh) berkata demikian menjawab soalan lisan Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) yang bertanyakan sama ada Perkeso membuat kajian dan bercadang memperluas dasar agar orang berinsurans yang berusia 60 hingga 65 tahun dapat menerima manfaat caruman.

Dalam pada itu, Ting Han berkata, insentif khas tersebut sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan untuk majikan yang mengambil pekerja daripada kumpulan sasar ini.

Katanya, kementerian dan PERKESO menyedari Malaysia dijangka menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus daripada penduduk negara akan berumur 60 tahun dan ke atas atau ageing population.

Dalam hal itu, katanya, kementerian sedang meneliti pemerkasaan sistem perlindungan sosial kepada semua golongan pekerja khususnya sektor swasta dan bekerja sendiri daripada sebarang krisis selepas persaraan akibat ketidakcukupan wang simpanan apabila mencapai umur persaraan melalui kerangka Dasar Sumber Manusia 2025–2030.

“Oleh itu, kementerian dan PERKESO melalui kerajaan negeri turut berkolaborasi dalam memastikan golongan rentan termasuk pesara dan warga emas masih menjadi keutamaan sumber tenaga negara yang aktif.

“Justeru, Program Daya Kerjaya 2.0 itu diwujudkan bagi membolehkan golongan sasar terlibat mendapatkan pekerjaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here