GEORGE TOWN – Peningkatan pusat kecantikan yang menjalankan prosedur estetik tanpa lesen menimbulkan kebimbangan serta mengancam nyawa dan kesihatan masyarakat di Pulau Pinang.
Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) berkata, pusat kecantikan tersebut dikendalikan oleh individu tanpa kelayakan perubatan, selain menawarkan perkhidmatan seperti suntikan botox, pengisi dermal dan rawatan laser.
Jelasnya, prosedur yang dilakukan menggunakan peralatan yang tidak steril dan produk yang tidak berdaftar menimbulkan kebimbangan dari segi peningkatan risiko jangkitan, alahan dan komplikasi kesihatan yang serius kepada pelanggan.
“Ramai terpengaruh dengan tawaran harga murah dan promosi yang menarik, terutamanya golongan muda yang ingin tampil cantik tanpa mempertimbangkan risiko keselamatan.
“Perbuatan ini bukan sahaja mencalar imej industri pelancongan kesihatan di Pulau Pinang tetapi juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sektor kesihatan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Tambah Ah Teong, operasi dan serbuan perlu dilaksanakan bagi menghalang pusat kecantikan haram daripada terus beroperasi.
Beliau berkata, dipercayai terdapat 176 pusat kecantikan yang mempunyai lesen di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang namun angka pusat kecantikan tidak berlesen mungkin lebih tinggi.
“Saya ingin tahu berapa kerap pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang melakukan siasatan dan operasi pemantauan ke atas pusat-pusat tersebut?
“Dipercayai sebahagian besar pengendali pusat kecantikan haram ini merupakan warga China, Taiwan dan Korea yang datang ke Pulau Pinang menggunakan pas pelancong.
“Mereka bertindak sebagai surgeri atau doktor membuat pembedahan kosmetik kepada pelanggan jauh lebih murah hingga 50 peratus berbanding kos ditawarkan oleh pakar bertauliah.
“Kita bimbang sekiranya isu ini terus dibiarkan, ia akan memberi kesan berbahaya kepada pelanggan kerana tidak memikirkan implikasi dan keselamatan,” katanya. – MalaysiaGazette