KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sebanyak 103,590 saman dijelaskan membabitkan nilai berjumlah RM9,139,750 sepanjang sambutan Dua Tahun Kerajaan Madani (2TKM) selama tiga hari di sini yang berakhir semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kutipan dibuat bermula 22 hingga 24 November lalu.
Jumlah itu dijelaskan pengunjung melalui saluran bayaran saman yang disediakan antaranya kaunter PDRM secara tunai dan e-payment selain melalui voucher yang diselesaikan melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM merangkumi kesalahan tertinggi iaitu pandu laju, abai isyarat lalulintas dan halangan lalulintas.
“Dalam prestasi penyelesaian saman dan kutipan kompaun sempena program dua tahun bersama Kerajaan Madani, JSPT tidak menetapkan sasaran untuk penyelesaian saman.
“Tetapi kami berbangga dengan kehadiran seramai 32,500 orang dalam menunaikan tanggungjawab menyelesaikan saman tertunggak dengan kadar tawaran pengurangan sebanyak 60 peratus atas kesalahan jalan raya yang telah dilakukan.
“Lagi pun, dalam perkara itu, jumlah kutipan saman bukan sebagai keutamaan JSPT sebaliknya berbangga dengan jumlah penyelesaian saman yang tinggi yang telah menunjukkan kesedaran dan peranan orang ramai juga menunjukkan trend penyelesaian melalui platform secara atas talian cashless (tanpa tunai),” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Yusri, kehadiran orang ramai ke reruai JSPT dengan kemudahan infrastruktur yang selesa yang disediakan melalui kolaborasi bersama pihak Kementerian Dalam Negeri dan Urusetia Madani memberi sambutan menggalakkan selain berpeluang mendapat maklumat terkini daripada agensi-agensi kerajaan lain pencapaian 2 Tahun Madani.
JSPT juga sedang mengkaji untuk mengadakan program pengurangan saman diseluruh negara secara cashless melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM disamping meningkatkan lagi jumlah pengguna berdaftar.
“Polis ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak melakukan kesalahan berulang dan mengekalkan sikap pengguna yang berdisiplin tinggi di jalan raya.
“Malah orang ramai juga disarankan agar tidak seharusnya menunggu tawaran diskaun diumumkan oleh kerajaan untuk menjelaskan saman-saman yang diterima.
“Sebaliknya sila mematuhi peraturan dan undang–undang lalu lintas setiap masa di jalan raya dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan oleh polis untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,’ tegasnya lagi.- MalaysiaGazette