Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat kenyataan berhubung dakwaan suntingan video temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Richard Quest daripada CNN baru-baru ini.

“Tentang tindakan yang akan diambil mereka yang sunting video (temubual Anwar bersama CNN), saya rasa lebih sesuai dijawab oleh PDRM,” jawab Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata demikian mengulas soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) di Dewan Rakyat hari ini.

Afnan Hamimi sebelum itu bertanyakan tentang langkah seterusnya kerajaan selepas Jurucakap Kerajaan Perpaduan Ahmad Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, video berkenaan disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel yang berniat mengelirukan.

Fahmi juga berkata, video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan diperkukuhkan dengan mengkehendaki platform media sosial membekalkan data tertentu berdasarkan kepada siasatan kepada pihak berkuasa.

“Kita rasakan bahawa dengan seksyen tersebut jika dilulukskan di Dewan Rakyat, polis berkuasa untuk meminta data tertentu daripada platform media sosial mengenai sebarang pengguna akaun media sosial tersebut.

“Kita harap ini akan mempermudahkan siasatan oleh polis,” katanya lagi.

Untuk rekod, cadangan pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi mengelak peruntukan undang-undang berkaitan hantaran dalam talian yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik itu disalahgunakan untuk tujuan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here