KUALA LUMPUR – Kesemua 11 stesen Monorel Kuala Lumpur akan dilengkapi dengan Pintu Platform Automatik (PAGS) pada akhir Disember ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak RM6.81 juta diperuntukan bagi melaksanakan projek pemasangan sistem PAGS itu bagi menjamin keselamatan penumpang.
Katanya, projek pemasangan pintu PAGS dilaksanakan pada 2016 namun ia tidak berfungsi apabila tren berhenti di stesen disebabkan masalah signal dan masalah teknikal.
“Pada April tahun ini saya duduk bincang dan mencabar peneraju pengangkutan rel itu iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) agar menyiapkan projek ini tanpa masalah dalam tempoh 12 bulan.
“Maka sekarang saya meninjau dan dengan suka cita mahu memaklumkan bahawa dua sistem PAGS sudah disiap dipasang dan beroperasi di dua stesen iaitu Stesen Monorel KL Sentral dan Stesen Tun Sambanthan.
“Manakala, empat lagi stesen iaitu Maharajalela, Jalan Imbi, Hang Tuah dan Bukit Bintang akan siap dipasang minggu ini sementara selebihnya akan disiapkan menjelang 31 Disember ini,” katanya dalam sidang media di Stesen Monorel KL Sentral, hari ini.
Terdahulu, beliau menaiki monorel dari Stesen Titiwangsa ke KL Sentral.
Anthony memberitahu, baki stesen yang akan disiapkan dengan sistem PAGS adalah Stesen Raja Chulan, Medan Tuanku, Titiwangsa, Bukit Nanas dan Chow Kit.
Menurut beliau, pemasangan pintu itu dilakukan berikutan berlaku beberapa insiden penumpang terjatuh ketika tren berhenti di stesen.
“Sejak 2017 hingga 2024 dalam tempoh ini, 10 insiden penumpang jatuh pada dua tahun terakhir ini sudah berlaku lima insiden berlaku iaitu masing-masing dua pada tahun lepas dan tiga kes pada tahun ini.
“Ada penumpang yang melayan telefon sambil menunggu tren melangkah dan terjatuh selepas tren berhenti di stesen disebabkan ketiadaan pintu yang tutup antara trek dan gerabak,” ujarnya.
Sementara itu, Anthony berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukan oleh Prasarana bagi menyelenggara dan membaiki lif dan eskalator di semua 11 stesen khususnya untuk kegunaan Orang Kurang Upaya (OKU). – MalaysiaGazette