Shamsul Azri pada sidang media selepas menyempurnakan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 85 peratus penjawat awam sudah menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal berakhir pada 30 November ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan berusaha memastikan baki 15 peratus lagi juga akan mengikuti langkah yang sama.

Katanya, wujud beberapa maklumat kurang tepat yang telah disebarkan di media sosial mengakibatkan masih ada yang belum menandatangani sistem berkenaan.

“Ikutlah portal JPA, ikutlah sesi libat urus oleh JPA, jangan dengar cakap kawan di media sosial, kadang-kadang mereka ini bukan kerja kerajaan jadi macam mana mereka nak faham.

“JPA akan bertungkus lumus untuk buat penerangan sebab mungkin ramai yang masih tak berapa jelas (SSPA),” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di sini hari ini.

SSPA bakal menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang bakal mula berkuat kuasa 1 Disember ini.

JPA juga sebelum ini telah mewujudkan Pusat Panggilan Setempat SSPA bagi membantu penjawat awam mendapatkan penjelasan berkaitan sebarang persoalan atau kekeliruan mengenai sistem skim berkenaan.

Melalui pelaksanaan SSPA, kerajaan bersetuju meningkatkan Gaji Permulaan Terendah (GPT) kepada RM1,500 dengan kelayakan masuk ke perkhidmatan awam minimum di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketimbang RM1,200 berkuat kuasa sejak Julai 2016 dengan kelayakan masuk di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pemberian pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu 8.0 peratus atau minimum RM240 pada Fasa 1 mulai 1 Disember nanti 7.0 peratus bagi Fasa 2 pada 1 Januari 2026.

Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, pemberian pelarasan gaji sebanyak 7.0 peratus dengan pecahan 4.0 peratus bagi Fasa 1 bermula pada 1 Disember ini dan 3.0 peratus dilaksanakan pada 1 Januari 2026.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan SSPA merupakan antara sistem terbaik yang pernah diperkenalkan kerajaan meskipun ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here