KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti sensasi, Datuk Seri Vida mengambil serius mengenai isu tular membabitkan dirinya yang gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya mencecah lebih RM1 juta.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, memaklumkan dia sudah melantik peguam bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun media sosialnya.
Pada masa sama, Vida turut menghargai sokongan semua pihak namun berharap diberi ruang untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan tenang dan profesional.
Sementara itu, di Instagram Story milik anak perempuannya, Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, turut meminta orang ramai untuk bersabar.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah menyita aset milik usahawan terkenal, Datuk Seri Vida gara-gara gagal menjelaskan bayaran baki tertunggak kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018.
Syarikat berkenaan dikatakan telah bekerjasama dengan Vida bagi melakukan pengubahsuaian bangunan pejabatnya, Vida All Star Studio bertempat di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam.
Barang-barang yang disita merupakan keseluruhan barangan milik Vida beserta empat buah kereta iaitu dua buah Toyota Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan BMW X7.
Proses lelongan barangan yang disita akan dihentikan sekiranya Vida dapat membayar ganti rugi dalam jumlah yang dinyatakan dalam tempoh dua minggu. – MalaysiaGazette