GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas mengintegrasikan usaha pemuliharaan alam sekitar ke dalam semua pelan pembangunan negara.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu ia bagi melindungi habitat hidupan liar yang kian terancam akibat urbanisasi dan pembangunan tidak terkawal.
Jelas beliau, kemusnahan habitat akibat penebangan hutan, pembangunan jalan raya dan eksploitasi sumber semula jadi telah mencetuskan peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar dalam negara.
“Laporan Global Forest Watch menunjukkan negara ini kehilangan 133,000 hektar hutan semula jadi pada tahun lalu, melepaskan kira-kira 146 juta tan karbon dioksida.
“Penebangan hutan tidak terkawal telah menghancurkan ekosistem, memusnahkan habitat spesies seperti orang utan, dan mempercepatkan penurunan populasi hidupan liar seperti tapir dan harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mohideen, pembinaan jalan raya yang merentasi habitat hutan turut menyumbang kepada perlanggaran kenderaan dengan haiwan seperti tapir dan harimau.
“Antara tahun 2015 hingga 2020, sebanyak 92 Tapir Malaya dilaporkan terbunuh dalam kemalangan jalan raya, manakala enam Harimau Malaya mati akibat perlanggaran dalam tempoh dua tahun terakhir, meninggalkan kurang daripada 150 ekor harimau di hutan Malaysia.
“Insiden seperti ini bukan sahaja membunuh haiwan secara individu tetapi juga menjejaskan populasi spesies yang sudah terdedah kepada ancaman habitat yang semakin terpecah,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia perlu mempertahankan warisan biodiversiti yang kaya ini untuk generasi akan datang.
“Kita tidak mampu lagi membiarkan pembangunan yang hanya berorientasikan keuntungan industri memusnahkan ekosistem kita.
“Sehubungan itu, tindakan segera diperlukan bagi mengelakkan lebih banyak spesies ikonik negara ini pupus dan memastikan kelangsungan kehidupan manusia dan hidupan liar dalam negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette