KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berasa sedih kerana isu tulisan Cina pada papan perniagaan diungkit oleh ‘orang tua’.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR itu, artikel ‘orang tua’ tersebut yang ditulis dalam Bahasa Inggeris telah mencetuskan polemik dalam kalangan pemimpin yang dakwanya boleh membawa kemunduran kepada kerajaan dan pembangkang.
“Cuma sedih apabila perkara ini diungkit oleh seorang tua, yang ayatnya tidak ditulis dalam Bahasa Melayu dan dengan corak pemikiran yang tuanya, masih boleh mencetuskan polemik di kalangan pimpinan kita yang sudah mula menumpu kepada projek pembinaan ekonomi dan negara bangsa.
“Pepatah ‘menari dengan serigala’ bererti bersama dengan orang yang membawa kebahayaan. Kalau kita menari ikut rentak orang tua dengan sifat tuanya, maka kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang berisiko mundur ke belakang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa ‘orang tua’ yang dimaksudkannya.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahatahir Mohamad yang berusia 99 tahun menegur premis perniagaan yang menggunakan sepenuhnya tulisan Cina dan mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Penggunaan meluas tulisan Cina di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur, menurut Dr. Mahathir memberi kesan kepada identiti kebangsaan.
Dalam kenyataan yang dikongsi di platform X, Dr Mahathir menceritakan pengalamannya ketika mengunjungi salah satu pusat beli-belah baharu di ibu negara.
Beliau menegaskan kehadiran ketara tulisan Cina di papan tanda, mengatasi penggunaan Bahasa Melayu.
“Saya tiba-tiba rasa seperti berada di China,” ujar Dr Mahathir.
“Semua papan tanda menggunakan tulisan Cina dengan terjemahan Bahasa Inggeris. Tiada langsung dalam Bahasa Melayu. Langsung tiada,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.
Dalam pada itu, Chean Chung berkata demikian kerana kesal isu papan iklan telah mengambil masa melampau dalam Dewan Rakyat dan ruang media yang sepatutnya digunakan untuk membicarakan isu lain yang lebih penting.
Tambah beliau, dasar dan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap papan tanda tidak menekan apatah lagi untuk melarang kepenggunaan bahasa-bahasa lain termasuk pelbagai bahasa ibunda di Malaysia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: