Foto IPD Pekan

MARAN – Dua termasuk seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3 Jalan Pekan/Kuantan, Pekan kira-kira pukul 11.05 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, kejadian membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, kereta Proton Saga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

Beliau berkata, kenderaan pacuan empat roda itu dipandu dari arah Pekan menghala ke Kuantan manakala kereta Proton Saga dan Toyota Avanza pula dipandu di arah bertentangan.

“Sampai di tempat kejadian, pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 35 tahun dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta Poton Saga dipandu seorang warga emas berusia 71 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Zaidi, disebabkan jarak terlalu dekat, Toyota Avanza yang dipandu di belakang kereta Proton Saga tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakangnya.

Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda, Azuwan Zainal Abidin, 35, dan pemandu Proton Saga, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah telah mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Pekan untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Mohd Zaidi berkata, pemandu MPV terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast